mutakhir

Remaja maut dilanggar lari, polis cedera

Oleh Farah Suhaidah Othman

PENUNGGANG motosikal maut manakala seorang lagi cedera selepas konvoi dua kenderaan itu terbabit dalam kemalangan langgar lari di Jalan Keramat Pulai berhampiran Kampung Pergom, Ipoh, semalam.

Dalam kemalangan 6.27 petang itu, Nur Aminuddin Majurizi, 17, yang menunggang Honda EX5 maut di lokasi kejadian manakala anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 23 tahun yang berkonvoi bersama mangsa cedera.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands secara berkonvoi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta tidak dikenal pasti dari arah bertentangan tiba-tiba memasuki laluan kedua-dua motosikal berkenaan sebelum merempuh seorang daripada mangsa.

"Anggota polis yang menunggang di belakang cuba mengelak kemalangan itu namun dia terbabas ke bahu kanan jalan.

"Akibat kemalangan itu, penunggang EX5 maut di lokasi kejadian manakala anggota polis berkenaan cedera," katanya ketika dihubungi di Ipoh, malam tadi.

Mohd Ali berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan anggota polis itu juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

"Kes itu diklasifikasi kemalangan langgar lari dan polis masih mengesan kereta yang disyaki terbabit dalam insiden itu.

"Hebahan mengenai kereta terbabit dihantar ke semua IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) bagi mengesan kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua motosikal dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 1:19am
d