mutakhir

Remaja maut di taman rekreasi [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

REMAJA perempuan berusia 15 tahun meninggal dunia selepas kepalanya tersangkut pada besi buaian di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.30 petang.

“Mangsa dikatakan sedang bermain buaian di lokasi kejadian sebelum kepalanya tiba-tiba tersangkut pada besi berkenaan.

“Kejadian itu menyebabkan pendarahan pada hidung dan telinga mangsa. Mangsa berjaya dikeluarkan daripada besi itu dengan bantuan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

"Namun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas di hospital berkenaan pada jam 7.30 malam tadi.

"Siasatan lanjut berhubung kes itu masih diteruskan dan bedah siasat terhadap mayat mangsa akan dilakukan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 12:13pm
d