mutakhir

[UPDATE] Pasangan warga emas, lelaki OKU rentung

Oleh Norasikin Daineh

SUAMI isteri warga emas bersama anak angkat mereka yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung selepas didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Jungkun dekat Menumbok di Kuala Penyu, hari ini.

Dalam kejadian 1.15 pagi itu, mangsa yang maut ialah Yunir Suyut, 80; isterinya, Saadah Mumin, 70, dan anak angkat mereka, Ismail, 45.

Dipercayai, ketika kejadian, kesemua mangsa sedang tidur dan tidak sempat menyelamatkan diri.

Mayat pasangan suami isteri ditemui di pintu hadapan, manakala mayat Ismail dalam bilik.

Ketua Balai Bomba Kuala Penyu, Awang Mohd Sabri berkata, pihaknya menemui mayat suami isteri itu di hadapan pintu rumah pada jam 2.24 dan 2.34 pagi.

“Bagaimanapun, mayat anak mereka lewat ditemui kerana keadaan tubuh yang rentung sepenuhnya.

“Mayat mangsa hanya ditemui pada jam 4.30 pagi selepas anggota terjumpa tulang rusuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Awang Mohd berkata, rumah itu hanya mempunyai satu bilik dan dipercayai pasangan suami isteri itu tidur di ruang tamu, manakala anaknya di bilik berdasarkan penemuan kedudukan semua mangsa.

Katanya, bomba menerima panggilan pada jam 1.20 pagi dan menghantar seramai lapan anggota, termasuk pegawai bersama jentera ke lokasi kejadian.

“Jarak lokasi kejadian sejauh 25 kilometer (km) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu dan operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan sebaik tiba.

“Kebakaran dikawal pada jam 2.16 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.13 pagi. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Mayat kesemua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Berita berkaitan:

  • Tiga sekeluarga rentung
  • Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 12:35pm
    d