mutakhir

'Nak bercerai sebab ikan?'

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin dan Helmy Abd Rahman

KEGAGALAN suami membeli ikan selayang dipesan si isteri dan keengganan suami membawa isteri bersiar-siar kerana faktor kewangan menjadi antara punca perceraian pasangan Islam di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, berkata, masalah yang dilihat remeh itu menjadi antara penyumbang peningkatan kes perceraian di negeri ini.

Beliau berkata, rekod menunjukkan sebanyak 1,219 kes perceraian membabitkan pasangan beragama Islam bermula Januari hingga Jun lalu, berbanding 1,383 pasangan dalam tempoh sama pada 2017.

Katanya, bagi pasangan bukan Islam pula, statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan terdapat 17 kes perceraian didaftarkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 16 daripadanya membabitkan pasangan berbangsa Cina, manakala satu pasangan berbangsa India.

Justeru beliau berkata, kerajaan negeri PAS serius mengambil langkah untuk menangani masalah perceraian yang berpunca daripada isu dan masalah remeh.

"Kebanyakan perceraian di kalangan pasangan Islam ini berpunca daripada masalah remeh seperti suami tak beli ikan selayang dipesan, suami tak mahu bawa berjalan kerana tak ada duit dan suami terlalu leka dengan hal sendiri.

"Kita akan minta agensi kerajaan berkaitan untuk melihat punca-punca ini dan kita dekati mana-mana pasangan yang berdepan masalah untuk kita bantu daripada segi kaunseling umpamanya dengan lebih teliti dari rumah ke rumah," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan dikemukakan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) mengenai jumlah perceraian di Terengganu dan langkah diambil kerajaan dalam menangani masalah itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Ketika ditemui di luar dewan, Mohd Nor berkata, isu perceraian ialah masalah berpanjangan dan bukan isu baru yang perlu ditangani secara serius bagi mengurangkan perceraian yang berpunca daripada isu remeh.

"Walaupun kita tidak dapat selesaikan semua atau menyekat perceraian, kita ambil usaha untuk menangani sekurang-kurangnya bagi mengurangkan angka itu.

"Justeru kita akan menggerakkan kekuatan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) untuk mendekati mereka yang bermasalah ini secara lebih dekat, kaunseling lebih teliti dan kita akan buat susulan dari rumah ke rumah," katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 3:47pm
d