mutakhir

'Tahniah, KKM' - TMJ

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, hari ini mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan kerana prihatin terhadap isu di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Dalam kenyataan di Twitter rasminya, Tunku Ismail turut berharap projek membaiki kerosakan Unit Rawatan Rapi (ICU) ekoran tragedi kebakaran dua tahun lalu itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Saya dimaklumkan peruntukan sudah diluluskan untuk kerja baik pulih di HSA termasuk ICU yang terjejas akibat kebakaran dua tahun lalu.

“Saya harap projek (membaik pulih) dapat diselesaikan secepat mungkin untuk keselesaan rakyat. Tahniah kepada Kementerian Kesihatan kerana mengambil perhatian pada isu di HSA,” katanya.

Tunku Ismail berkata, peruntukan berkenaan amat penting kerana terlalu banyak perkara perlu dibaiki di HSA demi kebajikan pesakit di Johor.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, ketika mengadakan lawatan kerja ke Johor di Hospital Permai di Johor Bahru berkata, sejumlah RM25 juta peruntukan diluluskan bagi kerja pemasangan ‘sprinkler’, pendawaian dan lain-lain kerja berkaitan yang dalam semakan dan penyediaan skop oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, sejumlah RM4.77 juta juga sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi kerja menaiktaraf sistem perangkap kilat yang dalam semakan dan penyediaan skop Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan.

Selain itu, Dr Dzulkefly berkata, HSA juga ada memohon peruntukan RM10.5 juta untuk membaikpulih semula ICU berkenaan.

Menurut beliau, beberapa kerja penggantian alatan sudah selesai termasuk penggantian kapasitor dan ‘ballast’, penambahan alat pemadaman api, naik taraf hos dan pembaikan alat penggera.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 10:40am
d