mutakhir

Kes bayi didera, dirogol kekal di mahkamah jenayah

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

PROSIDING kes kematian bayi perempuan berusia 11 bulan akibat didera dan dirogol suami pengasuhnya di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini, kekal di mahkamah jenayah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata, ia idak akan dipindahkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak kerana membabitkan kes kematian.

“Kes itu membabitkan kematian, bukan jenayah seksual walaupun ada perlakuan rogol dan nama pun kes kematian.

“Agak sukar atau mungkin timbul masalah kalau kes itu dibawa ke mahkamah jenayah seksual kanak-kanak.

“Buat masa ini saya tidak nampak kes itu boleh dibawa ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak walaupun mangsanya adalah kanak-kanak.

“Ia lebih kepada kes jenayah pembunuhan dan sepatutnya dibawa ke mahkamah biasa (jenayah),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN UMNO-Pengerang) yang bertanya sama ada kes berkenaan boleh dibawa ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak kerana mangsa adalah bayi perempuan.

Pada 9 November lalu, seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia lalu selepas dua hari dilaporkan tenat selepas dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuhnya.

Kes itu awalnya diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Namun, selepas mangsa meninggal dunia, kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 12:42pm
d