mutakhir

Rusuhan kuil: Waytha Moorthy hubungi TKPN [METROTV]

Oleh Fazrik Kamarudin

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy hari ini menghubungi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim untuk menyampaikan kegusaran masyarakat susulan rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, hari ini.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, panggilan itu dibuat selepas pihaknya menerima pelbagai video dan muat naik Facebook berhubung insiden itu.

“Menteri membangkitkan keprihatinan masyarakat terhadap kekerasan yang menjadi ancaman terhadap pelanggaran keamanan dan kedamaian masyarakat berbilang kaum dan pelbagai agama serta aspek kebebasan beragama.

“Insiden ini mendapat perhatian Menteri apabila ada mangsa yang cedera serta harta hak milik kuil dibakar yang menyebabkan ketegangan emosi di kalangan orang ramai. Ada juga dakwaan yang masih belum sahih ditularkan.

“Justeru, Timbalan Ketua Polis Negara sudah menjanjikan siasatan menyeluruh akan dijalankan," katanya.

Beliau juga meminta rakyat Malaysia untuk bertenang sehingga siasatan penuh dijalankan terhadap insiden berkenaan seterusnya memastikan kedaulatan undang-undang.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak 18 kenderaan dibakar dalam kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil berkenaan sebelum tercetus pergaduhan di lokasi terbabit.

Difahamkan, perselisihan faham antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil terbabit menjadi punca pergaduhan dalam kejadian awal pagi tadi itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dalam satu sidang media kemudian memaklumkan rusuhan yang berlaku tidak membabitkan unsur perkauman, sebaliknya hanya perselisihan faham antara dua kumpulan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta menghentikan status atau mesej tular yang mengaitkan kejadian berkenaan dengan isu perkauman.

“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang cuba mencetuskan ketegangan kaum dan ketenteraman awam berhubung isu berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tiada unsur perkauman kata polis

Bergaduh sampai 18 kenderaan terbakar

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 12:59pm
d