mutakhir

Sudah jatuh, ditimpa tangga

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

TIDAK sampai 10 hari suami dirawat di hospital, rumah yang didiami pula musnah dalam kebakaran.

Demikian nasib yang menimpa Rosmawati Haron, 47, dan keluarganya selepas kediaman mereka terbakar dalam kejadian di Batu Satu Setengah, Jalan Tebuk Supar di Sabak Bernam, kelmarin.

Menurut Rosmawati, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk menziarahi suaminya, Mad Sidek Mohd Yunus, 54 yang dirawat akibat jangkitan kuman dalam darah.

“Sewaktu dalam perjalanan, saya singgah seketika di pekan Sabak Bernam untuk membeli barang keperluan.

“Pada waktu itu, seorang anak datang mencari saya memberitahu kediaman kami terbakar,” katanya ketika ditemui NSTP, semalam.

Dia yang berniaga kecil-kecilan berkata, mereka sekeluarga kini hilang punca pendapatan berikutan barang niaga turut musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu.

“Saya kini buntu memikirkan nasib yang bakal dilalui keluarga pada masa akan datang.

“Tambahan pula, seorang anak saya sedang menjalani Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan semua buku rujukan serta alat tulisnya juga musnah,” katanya memaklumkan nilai kerugian dianggarkan RM80,000.

Menurutnya, mereka kini menumpang sementara waktu di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan dibawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Difahamkan dalam kejadian itu, lima anak Rosmawati yang ketika itu berada di rumah, sempat menyelamatkan diri.

“Meskipun terpaksa menghadapi dua musibah, kami sekeluarga reda dan berserah segalanya kepada Allah SWT,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1014841000085344 atas nama Daniel Isqandar Mad Sidek atau menghubungi Rosmawati di talian 0111-9291939.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 2:52pm
d