mutakhir

'Sujud syukur, kenduri pisang, sudahlah...'

Oleh Ahmad Suhael Adnan

UMNO dan PAS wajar membatalkan perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadualkan 8 Disember ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, himpunan itu tidak akan mempunyai matlamat jika diteruskan, malah dunia akan mentertawakan mereka kerana berdemonstrasi tanpa hala tuju.

“Kalau sekadar nak buat majlis kesyukuran, saya cadangkan mereka buat sujud syukur dan kenduri pisang di masjid serta surau seluruh negara.

“Daripada menghabiskan wang sewa bas dan sebagainya, lebih baik wang itu dikumpul untuk membantu fakir miskin dan sekolah agama di negara kita.

“Perlu ada kematangan daripada semua pihak termasuk UMNO yang dikatakan terbabit dalam penganjuran himpunan ini.

“Malah, lebih baik jika mereka hargai keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD dengan tidak meneruskan demonstrasi," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Jumaat lalu, kerajaan membuat keputusan tidak meratifikasi ICERD dan memberi jaminan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, PAS dan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang bertanggungjawab menggerakkan himpunan membantah ICERD, mahu meneruskannya dengan objektif meraikan keputusan itu bersama rakyat.

Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, isu ratifikasi ICERD digunakan pihak pembangkang sebagai usaha menjarakkan sokongan orang Islam dan Melayu daripada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, isu ratifikasi ICERD tidak menyelesaikan masalah kehidupan orang Islam yang timbul sebelum isu perjanjian itu dibangkitkan.

“Masalah kehidupan umat Islam daripada segi akhlak, dadah, anak luar nikah, buta al-Quran dan sebagainya wujud pada waktu Islam sebagai agama Persekutuan dan tanpa adanya ICERD,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 3:08pm
d