mutakhir

Jangan makan Romaine lettuce dari AS

Oleh Zanariah Abd Mutalib

KEMENTERIAN Kesihatan menasihatkan pengguna supaya tidak memakan sayur Romaine lettuce yang diimport dari Amerika Syarikat (AS) berikutan laporan sayur berkenaan dicemari bakteria patogenik Escherichia coli (E-Coli) di negara itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia ada mengimport Romaine lettuce dari AS dan kementerian sudah mengenakan tindakan penguatkuasaan “Tahan, Uji dan Lepas” (TUL) terhadap sayur jenis itu yang diimport.

“Pengguna dinasihatkan supaya menyemak label produk untuk mengenal pasti negara asal produk dan pengguna yang sudah membeli sayur Romaine lettuce dari AS dinasihatkan supaya tidak memakannya.

“Bagi mereka yang mempunyai gejala keracunan makanan seperti sakit perut, loya, muntah dan sakit kepala selepas memakan sayur Romaine lettuce itu perlu segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital yang berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laman sesawang Washington Post dalam artikel bertajuk “Romaine Lettuce Is Not Safe To Eat, CDC Warns U.S. consumers” pada 20 November lalu menyatakan pihak Centers For Disease Control (CDC) and Prevention di AS melaporkan, seramai 32 orang dari 11 daerah di AS jatuh sakit akibat memakan Romaine lettuce yang dicemari bakteria patogenik E-Coli.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan juga sudah mengenal pasti pengimport yang mengimport sayur Romaine lettuce dari AS dan mengarahkan supaya menarik balik sayur itu dari pasaran mengikut peruntukan di bawah Seksyen 13C(2), Akta Makanan 1983.

“Kegagalan mematuhi peruntukan seksyen itu adalah satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-dua sekali.

“Selain itu, penjual juga diminta supaya menghentikan penjualan sayur itu serta-merta,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, E-Coli adalah sejenis mikroorganisma patogenik yang boleh menyebabkan cirit birit, demam dan kesakitan abdomen.

Katanya, dalam kes yang tertentu, ia boleh menyebabkan kematian khususnya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti bayi, orang tua atau orang yang mempunyai sistem imuniti yang rendah.

Beliau turut meminta pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan supaya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 4:22pm
d