mutakhir

Lima individu termasuk 'Datuk' ditahan [METROTV]

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini mendapat perintah tahanan reman lima individu, termasuk seorang pengarah sebuah jabatan kerajaan bergelar Datuk di Johor Bahru.

Turut ditahan reman, tiga pegawai daripada jabatan sama dan seorang ahli perniagaan bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.

Majistret Azureen Sahirah Saufee Afandi, membenarkan semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, sehingga 29 November.

Semalam, SPRM menahan pegawai kanan berusia 44 tahun itu di pejabatnya pada 10 pagi.

Tiga lagi pegawai jabatan itu termasuk seorang wanita berusia 38 hingga 46 tahun ditahan antara jam 3.25 sehingga 3.45 petang di Pejabat SPRM Johor selepas mereka hadir memberi keterangan.

Seorang lagi suspek ahli perniagaan berusia 50 tahun ditahan di pejabat syarikatnya di sekitar Johor Bahru pada jam 10.25 pagi.

Menurut sumber, pengarah yang bergelar Datuk itu disyaki menerima rasuah bagi meluluskan permohonan pas lawatan iktisas dan pas lawatan kerja sementara tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SPRM turut melakukan penggeledahan di rumah pengarah berkenaan dan menjumpai wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dianggarkan bernilai RM91,000.

Turut ditemui ialah buku akaun bank di Singapura atas nama suspek bernilai RM 1.8 juta.

Katanya, penahanan ini adalah maklumat dan kerjasama antara SPRM dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 5:06pm
d