mutakhir

Mana ada komplot jatuhkan MB Perak

Oleh Ahmad Suhael Adnan

TIDAK wujud komplot dalam kalangan EXCO Kerajaan Negeri Perak untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seperti didakwa UMNO.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata, dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad itu, adalah tidak berasas dan fitnah serta berniat jahat.

Beliau berkata, semua 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di negeri itu termasuk dirinya memberi sokongan penuh kepada pimpinan negeri diketuai Ahmad Faizal.

“Apa yang jelas adalah dakwaan ini berniat jahat dan sebahagian daripada taktik kotor mereka untuk cuba menjatuhkan kerajaan dipilih rakyat.

“Ini bukan kali pertama mereka menabur fitnah kerana Saarani pernah membuat dakwaan sedemikian dan kini mengulangi dakwaan itu.

“Ini adalah tindakan terdesak mereka dan saya harap rakyat tidak melayan fitnah kerana ini bukan budaya politik kita.

“Fokus kami ketika ini adalah untuk membentangkan bajet negeri esok supaya dapat memberi tumpuan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Saarani semalam mengenai kewujudan gerakan menjatuhkan Ahmad Faizal oleh beberapa EXCO egeri menerusi usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ditanya sama ada ADUN PH ada menandatangani dokumen menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Perak, Nga berkata, mereka saling mempercayai dan komited menyokong Ahmad Faizal.

PH menubuhkan kerajaan di Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti mudah 31 kerusi DUN selepas dua ADUN Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan kepada PH.

Keputusan PRU-14 menyaksikan tiada parti di Perak dapat membentuk kerajaan negeri apabila BN memenangi 27 kerusi, PKR menang 29 kerusi manakala PAS tiga kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi DUN.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 5:06pm
d