mutakhir

Rusuhan kuil: Polis minta semua bertenang!

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

POLIS memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan dengan menularkan insiden di tapak Kuil Sri Maha Mariamman di Selangor, sehingga boleh menimbulkan ketegangan kaum.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, beliau percaya ada segelintir kumpulan mempunyai agenda dan niat tertentu apabila menyebarkan isu itu kepada orang ramai.

Sehubungan itu, katanya polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mereka kerana menggugat keharmonian dan keselamatan negara.

“Insiden ini adalah isu sensitif dan mana-mana pihak terutama penulis blog tidak boleh sewenang-wenangnya ambil kesempatan untuk menimbulkan ketegangan kaum.

“Penulis blog perlulah menjadi seorang yang bertanggungjawab dan mereka tidak sepatutnya viralkan isu yang tidak benar. Polis akan memantau media sosial supaya mereka tidak mengeluarkan kenyataan negatif tentang isu ini.

“Polis amat serius tentang perkara ini kerana kami tidak mahu ia memberi ancaman kepada keselamatan negara,” katanya kepada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan dan beberapa pegawai kanan polis negeri.

Noor Rashid berkata, polis akan meneruskan siasatan ke atas kes itu dan mengeaskan bahawa ia bukan rusuhan kaum.

“Apabila kami menghadapi kes seumpama itu, kami akan melakukan siasatan terperinci dan tindakan susulan kami termasuk mengadakan pertemuan dengan ahli parti politik, ketua kampung dan ketua masyarakat sekitar kawasan itu.

“Ini adalah prosedur biasa dalam PDRM walaupun sudah disahkan kes itu berlaku kerana perkelahian antara dua kumpulan berikut perintah mahkamah untuk memindahkan kuil itu,” katanya.

Noor Rashid berkata, polis sudah membuka kertas siasatan dalam kes itu dan setakat ini, beberapa tangkapan telah dilakukan.

Berita berkaitan

Rusuhan kuil: Waytha Moorthy salahkan polis

Polis berkawal sampai keadaan tenang

Bergaduh sampai 18 kenderaan terbakar

[UPDATE] Tiada unsur perkauman kata polis

Kenapa kau bakar rumah kongsi pula? [METROTV]

Rusuhan kuil: Waytha Moorthy hubungi TKPN

Rusuhan kuil: Pemaju tak terbabit

'Mungkin ada kesalahan tatabahasa' - MB Selangor

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 5:38pm
d