mutakhir

Hadkan masa hujahan dalam mahkamah

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

MASA penghujahan dalam mahkamah perlu dihadkan hanya 20 minit bagi mempercepatkan prosiding kes lain untuk didengari.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum berkata, beliau mengesyorkan masa diberikan untuk berhujah dihadkan, sekali gus berharap ia dapat dilaksanakan.

“Sebagai contoh di negara lain seperti United Kingdom yang menitikberatkan soal masa hujahan termasuk sewaktu penghakiman kes Brexit.

“Jadi, cadangan ini adalah bagi membolehkan kes ini ‘bergerak’ secepat yang mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta hakim untuk memberi peluang kepada peguam berhujah di dalam mahkamah serta tidak mencelah mereka.

“Berilah laluan dan peluang kepada peguam, dan hakim dengarlah secara teliti, janganlah cuba mencelah. Bagi mereka peluang untuk bercakap.

“Kita dengar dengan teliti apa yang diperkatakan dan jangan ‘potong’. Walaupun kes itu mereka kalah, tetapi sekurang-kurangnya mereka akan gembira apabila percakapan mereka dapat didengari,” katanya.

Sementara itu, Richard turut menasihatkan kepada hakim supaya menahan diri daripada memberikan komen keterlaluan.

Katanya, jika sesuatu penghakiman itu tersalah petik, ia akan memberikan tanggapan buruk kepada badan kehakiman.

Terdahulu, seramai empat hakim mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Nallini Pathmanathan.

Sementara itu, lima hakim pula mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Lau Bee Lan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, Datuk Yew Jen Kie, Datuk Nor Bee Ariffin dan Datuk Has Zanah Mehat.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 7:31pm
d