mutakhir

'Allergic' sangat bincang ICERD - Saifuddin

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

USAHA kerajaan menguruskan isu hak asasi manusia termasuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menjadi kontroversi kerana banyak pihak ‘allergic’ (alah) dan emosi dengan isu berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ICERD adalah isu menyentuh hak asasi manusia yang sepatutnya boleh dibahas dan diperdebatkan dengan rasional, namun terganggu akibat salah faham serta silap tafsir masyarakat.

“Isu ICERD ini kompleks dan ia menjadi kusut kerana tidak dilihat secara rasional, tiada keizinan perdebatan dan perbahasan mengenainya berjalan dengan baik.

“Ada waktunya berlaku salah tafsir dan salah faham seperti seperti menyentuh perkara terkandung dalam Perlembagaan, contohnya Perkara 153. Ada waktunya pentafsirannya berbeza.

“Namun isunya ialah ia tidak boleh dibincang. Kita ‘allergic’ dan dipenuhi emosi kononnya nak jual dan jadi pengkhianat.

“Ada waktunya kita sampai ‘‘allergic’ dan emosi sehingga perkara kompleks seperti ini tidak boleh dibahas dengan tenang untuk meraikan pelbagai pendapat antara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat, hari ini.

Bantahan terhadap hasrat kerajaan meratifikasi ICERD tercetus apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Senator P Waytha Moorthy dilapor berkata, kerajaan komited meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk konvensyen itu pada suku pertama tahun depan.

Waytha Moorthy yang dikenali sebagai pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan pernah menganggotai Kabinet selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada era Barisan Nasional (BN) dilaporkan berkata, ratifikasi beberapa konvensyen dan triti berkenaan selaras dengan manifesto Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, susulan bantahan awam yang menyaksikan satu perhimpunan akan diadakan di ibu negara pada 8 Disember ini, Kabinet membuat keputusan tidak meneruskan usaha meratifikasi ICERD.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kerajaan menggariskan tiga arah tuju baharu dalam dasar luar negara yang memberi tumpuan kepada agenda diplomasi ekonomi.

“Dalam kerangka baharu diplomasi ekonomi ini, tiga perkara diberi keutamaan iaitu keselamatan negara, kepentingan ekonomi dan mempertahankan identiti serta kedaulatan negara,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 9:48pm
d