mutakhir

Port penagih dadah diserbu

Oleh Aizat Sharif

TINDAKAN suami isteri memasuki ‘port’ penagihan dadah di Kampung Bakau, Langkawi untuk mengambil bekalan dadah membawa padah apabila dicekup, semalam.

Operasi dilakukan sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi pencegahan dadah berisiko tinggidi sekitar Pekan Kuah.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Operasi (Penguatkuasaan/Keselamatan) AADK Zulkifli Mohd Dom berkata, pasangan berusia 30-an itu ditahan ketika mencari bekalan dadah di kawasan terbabit untuk ‘melepaskan’ gian di tempat lain.

“Kita percaya pasangan berkenaan sudah lama menjadikan ‘port’ berkenaan untuk mengambil bekalan dadah terbabit.

“Selain itu, dalam operasi sama kita menahan seorang ‘tokan’ dadah berusia 25 tahun bersama seorang wanita dalam sebuah rumah di kampung itu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, tokan itu dipercayai aktif dalam membekalkan dadah kepada pengedar kecil-kecilan serta penagih dadah di kawasan kampung terbabit dan kawasan sekitarnya.

“Malah, seorang lagi ‘tokan’ cuba bertindak agresif dengan meloloskan diri melalui pintu belakang sebuah rumah selepas menyedari dikepung.

“Suspek turut melompat sehingga menyebabkan dirinya tercedera namun kita berjaya menahannya sebelum dibawa ke Hospital Langkawi bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Terdahulu, dalam operasi bermula sejak 22 November lalu, seramai 22 individu termasuk lima wanita ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan serta pengedaran dadah di sekitar Kuah.

Operasi dilaksanakan sembilan anggota AADK dari pasukan STRIKE AADK Putrajaya dibantu pasukan STRIKE AADK Selangor.

Dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM13,000 turut dirampas daripada suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3 (1) Akta Penagh Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 10:25pm
d