mutakhir

'Tidak perlu ICERD, Islam lebih lengkap'

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa disifatkan tidak sedar kelemahan sendiri hingga mengeluarkan kenyataan menganggap pihak penentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai liar.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mengulas isu berkaitan ICERD berkata, definasi acuan Islam lebih lengkap dan bersifat adil, manakala takrifan antarabangsa tidak lengkap dan tidak cukup.

“Definasi mengikut Islam lebih lengkap daripada antarabangsa, kita (Islam) lebih baik, tak perlu (ICERD), mereka tidak lengkap dan tidak cukup dan mereka tak adil.

“Israel dan Myanmar dibiarkan, apa silap orang Islam, orang Islam tidak buat salah, sepatutnya dia (ICERD) tuju kepada negeri-negeri itu, jadi kita orang Islam tak boleh bersikap lemah menunjukkan kelemahan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Syarahan Perdana: Geopolitik Islam di Masa Depan di Auditorium Utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, malam semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Rektor Pengantarabangsaan dan Jaringan Global Prof Dr Nor Faridah Abdul Manaf.

Terdahulu, Mujahid dipetik berkata, penentang ICERD disifatkan liar hingga hilang rasional selain bersikap seolah-olah dunia mahu kiamat.

Pada majlis itu juga, Abdul Hadi berkata, ICERD mempunyai kaitan dengan agenda pertubuhan Freemason untuk mengembalikan kegemilangan empayar Nabi Sulaiman yang menakluk dunia.

“Yahudi ortodoks menentang Yahudi ini, dia tahu bangsa Yahudi tidak mampu menghadapi dunia di akhir zaman.

“Di mana agendanya merosakkan ekonomi, politik dan akhlak dan ini agenda yang dibawa oleh Freemason, dia ada cabang-cabangnya, macam-macam nama.

“Bahkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ada pengaruhnya, malah ICERD baru-baru ini ada pengaruhnya, kita kena sedar banyak orang tidak tahu,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 12:50am
d