mutakhir

'Kalau benar, amat mengecewakan...'

Oleh Ahmad Suhael Adnan

Kuala Lumpur: Tindakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan nama Low Taek Jho atau Jho Low, digugurkan daripada Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah mengecewakan.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pendedahan Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad kelmarin, berhubung arahan pengguguran itu adalah perkara amat serius jika benar ia berlaku.

“Jika benar arahan memadamkan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB itu berlaku, ia adalah tindakan yang serius dan mengecewakan,” katanya ditemui di lobi Parlimen semalam.

Beliau mengulas kenyataan Dr Madinah yang mendedahkan beberapa perenggan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB digugurkan, antaranya membabitkan nama Jho Low atas arahan Najib dan pegawainya.

Susulan itu, Najib kelmarin menjelaskan, pihaknya menerusi Kementerian Kewangan pernah mengeluarkan kenyataan mengenainya di Parlimen pada 2015.

Antara lain, katanya, ia mengesahkan ahli perniagaan dalam buruan itu pernah menghadiri mesyuarat 1MDB, namun mewakili syarikat PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi) dan seorang putera Turki.

Bagaimanapun, Khairy Jamaluddin mempersoalkan penjelasan Najib kerana arahan pindaan berkenaan tidak sepatutnya berlaku jika benar penjelasan berkenaan kehadiran Jho Low pernah dibuat secara terbuka.

“Jika itu benar, kenapa ada kenyataan daripada Ketua Audit Negara mengatakan ada arahan untuk meminda laporan itu.

“Ada percanggahan antara penjelasan Najib dan kenyataan Ketua Audit Negara. Kita tunggu penjelasan lanjut Ketua Audit Negara mengenai perkara ini serta hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Ditanya sama ada kehadiran Jho Low dalam mesyuarat 1MDB pernah dimaklumkan kepada Kabinet sebelum ini, Khairy Jamaluddin berkata, ia tidak pernah berlaku manakala kebanyakan perkara mengenai syarikat pelaburan strategik negara itu tidak diberitahu kepada jemaah Kabinet.

Mengenai kewajaran pindaan dan pengguguran dalam laporan itu dibuat, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana laporan audit perlu bebas dan berkecuali.

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 10:49am
d