mutakhir

Serang bomba perbuatan keji - Waytha Moorthy

Oleh Fahmy Azril Rosli

KEKECOHAN yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman dekat USJ 25, Subang Jaya bukan berpunca daripada konflik antara kaum, sebaliknya didakwa dicetuskan antara pemaju tanah di mana tempat kuil itu dibina dengan pengurusan tempat ibadat berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mendakwa dengan penjelasan itu, meminta supaya masyarakat India bertenang dan bersikap rasional apabila berdepan kemelut yang menimpa kuil berkenaan.

Menurutnya, jika gagal mengawal perasaan, ia cuma mengundang keburukan dan memungkinkan terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan sambil menghasut dengan niat untuk mencetuskan pergolakan sosial antara kaum.

“Serangan yang didalangi pihak yang tidak diketahui di pusat beli-belah One-City adalah tidak diduga, tidak wajar dan boleh dilabel sebagai perbuatan provokasi dengan sasaran mahu menggugat ketenteraman dan kestabilan yang diraikan selama ini oleh rakyat Malaysia.

“Justeru, kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan ini dan pihak polis akan mengambil tindakan untuk membanteras keganasan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa kumpulan yang berselindung di sebalik nama kuil.

“Saya juga menggesa jawatankuasa pengurusan kuil untuk menguruskan orang ramai yang berada di kuil berkenaan kerana ia termaktub sebagai tanggungjawab mereka untuk melindungi penganut yang datang ke kuil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas gesaan terhadap jawatankuasa pengurusan kuil berkenaan, Waytha Moorthy berkata, ia susulan insiden yang di kuil pada lewat malam tadi apabila terdapat sekumpulan individu mula berarak dari tempat ibadat itu menuju ke pusat beli-belah One-City.

Katanya, kumpulan berkenaan bertindak memecahkan panel kaca di pusat beli-belah itu yang dikatakan dimiliki oleh pemaju tanah di mana kuil itu berada.

Antara insiden yang mendapat perhatian Waytha Moorthy adalah pegawai bomba yang sedang bertugas untuk memadamkan kebakaran, cedera akibat dipukul sekumpulan lelaki dan kini mangsa sudah berada di hospital untuk rawatan lanjut.

Beliau turut mengesahkan kejadian yang menimpa pegawai bomba itu sebenarnya berpunca apabila mangsa ditarik oleh sekumpulan lelaki ketika cuba memadam kebakaran sebuah kereta yang diletakkan di luar kawasan kuil malam tadi.

“Serangan ke atas pegawai bomba berkenaan ada perbuatan yang keji. Mereka hanya menjalankan tugas bagi memastikan keselamatan masyarakat yang berada di sekitar kuil,” katanya.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 3:29pm
d