mutakhir

Ganabatirau sedia minta maaf jika dapat redakan ketegangan

Oleh Norrasyidah Arshad

EXCO Kerajaan Selangor, V Ganabatirau sedia memohon maaf di atas kenyataannya yang menimbulkan kontroversi jika itu mampu meredakan ketegangan berhubung kejadian di Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dekat sini, awal pagi semalam.

Beliau juga mengesahkan turut menarik perkataan ‘muslim groups’ dan menggantikan dengan perkataan ‘kumpulan gangster’ selepas dilihat tidak sesuai selain dituduh seperti mengaitkan pembabitan agama tertentu sehingga tercetusnya ketegangan.

“Saya seru semua pihak supaya bertenang dan minta polis siasat. Saya dapat nasihat daripada kawan-kawan saya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Kalau itu yang diutamakan, saya sanggup mohon maaf.

“Paling penting, kita perlu selesaikan perkara ini secara profesional. Kita mahu tahu kenapa golongan itu masuk kuil pada awal pagi dan siapa upah mereka?” katanya kepada media di lobi DUN Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Semalam Ganabatirau, yang juga ADUN Kota Kemuning menerusi laman sosial Facebook (FB) memuat naik kenyataan mendakwa terdapat sekumpulan orang Islam terbabit dalam insiden itu.

Bagaimanapun, semakan dalam akaun FB miliknya beberapa jam selepas itu mendapati kenyataan berkenaan sudah ditukar selepas menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk menyifatkan kenyataan itu dianggap rasis.

Dalam perkembangan lain, Ganabatirau juga bercadang untuk mengusulkan kepada sidang DUN Selangor untuk menyalurkan bantuan kepada anggota bomba, Muhammad Adib Muhammad Kasim, yang cedera parah selepas diserang di kuil terbabit.

Dalam insiden pukul 1 pagi tadi, Muhamad Adib dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, dipukul sehingga patah tulang rusuknya oleh sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil berkenaan.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 4:12pm
d