mutakhir

One City minta penjelasan polis

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SYARIKAT pemaju One City Development Sdn Bhd (One City) mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi penjelasan berhubung kenyataan mengaitkan mereka dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, semalam.

One City dalam satu kenyataan, hari ini, berkata mereka terkejut dengan laporan media yang memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim membayangkan pembabitan syarikat pemaju terbabit.

“One City meminta penjelasan polis berhubung kenyataan terbabit di mana kita sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang proses itu,” katanya.

Katanya, tidak ada sebab untuk mereka terbabit dalam kekecohan itu kerana isu pengambilalihan tapak kuil terbabit sudah dibawa dalam dua kes mahkamah, selain mengadakan perbincangan bersama pihak-pihak berkepentingan.

“Berdasarkan penghakiman persetujuan pada 2014, kami tiada sebab untuk terbabit dalam hal itu kerana pihak berkuasa sudah terikat dengan perintah mahkamah untuk membantu dalam proses berkenaan.

“Kami menolak keganasan yang berlaku dan tidak pernah berfikir untuk terbabit dalam tindakan itu,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam penghakiman persetujuan sebelum ini, One City bersetuju mendepositkan wang RM1.5 juta kepada pihak kuil, dan penangguhan penempatan semula kuil bagi memberi laluan kepada upacara yang perlu diadakan sebagai usaha pemaju dalam menyelesaikan isu perpindahan secara aman.

Pemaju terbabit turut bersedia memberi kerjasama kepada polis dan tidak pernah menyembunyikan sebarang maklumat.

Pada masa sama, One City berharap pihak berkuasa juga dapat memberi bukti menunjukkan mereka terbabit dalam kekecohan berkenaan.

“One City menghormati siasatan yang dilakukan pihak berkuasa dan kita berharap mereka (polis) juga dapat berkongsi sebarang bukti mengaitkan insiden itu dengan kami.

“Kami sentiasa telus dan terbuka, kerana itu seorang pegawai kanan kami sudah berkomunikasi dengan polis dan membuat satu temujanji untuk membantu siasatan,” katanya.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 6:42pm
d