mutakhir

Sebat sivil dikekalkan - Mohamed Hanipa

Oleh Rohaniza Idris

KERAJAAN mengekalkan hukuman sebatan sivil walaupun beberapa negara sudah memansuhkannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, India dan Britain sudah memansuhkan hukuman itu kerana berpendapat langkah berkenaan tidak dapat mendidik tetapi lebih kepada bentuk seksaan kepada pesalah.

Bagi kerajaan, katanya, hukuman itu masih relevan walaupun diakui berbeza dengan sebatan dalam undang-undang syariah.

“Perbezaan ketara antara hukuman sivil dan syariah adalah dari segi falsafah hukuman itu.

“Dalam Islam, hukuman adalah untuk mendidik manakala dalam sivil untuk menyakiti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nik Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) sama ada kerajaan menilai pelaksanaan sebatan sivil yang dilihat tidak berperikemanusiaan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH PKR-Kapar) sama ada kerajaan mahu menghapuskan hukuman sebatan secara total dan diganti dengan hukuman penjara dilanjutkan, Hanipa berkata, ia boleh dibuat atas perkiraan tertentu termasuk rotan boleh memudaratkan pesalah.

“Setakat ini belum ada keputusan kerajaan memansuhkan hukuman sebatan sebab hukuman ini telah lama ada dalam negara.

“Saya akui memang ada kesan menghalang dan kita mungkin agak berbeza pendapat kerana hukuman ini menyakitkan tetapi hukuman sebatan ini universal boleh diterima, ada dalam agama dan di luar skop agama.

“Malah, dalam undang-undang sekarang dimestikan ada pegawai perubatan ketika sebatan dilakukan dan pesalah masih mempunyai ruang untuk hukuman itu ditukar.

“Itu sebabnya hukuman sebatan masih perlu dilaksanakan,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 7:14pm
d