mutakhir

KPJ Seremban terima ancaman bom

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

KAKITANGAN dan pesakit diarah mengosongkan Hospital KPJ Seremban selepas menerima ancaman bom daripada individu tidak dikenali, jam 4.45 petang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada pihak polis, jam 5.07 petang.

Menurutnya, seramai 18 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Seremban 2 serta pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kita mengarahkan semua 117 pesakit biasa, pesakit Unit Rawatan Rapi (5) dan kakitangan (169) mengosongkan bangunan,” katanya.

Tinjauan NSTP di lokasi mendapati pasukan polis termasuk Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan (K9) sedang menjalankan pemeriksaan di bangunan lapan tingkat berkenaan.

Semua pesakit dan kakitangan pula berkumpul di tempat letak kereta hospital, malah ada pesakit yang kritikal terpaksa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) buat sementara waktu.

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 7:22pm
d