mutakhir

[UPDATE] Hanya panggilan palsu

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

POLIS mengesahkan panggilan ancaman bom yang diterima di Hospital Pakar KPJ Seremban, hari ini adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, polis yang menerima maklumat kejadian jam 4.50 petang bergegas ke lokasi sebelum mengarahkan semua kakitangan dan pesakit mengosongkan bangunan.

Katanya, panggilan itu diterima oleh operator hospital yang mendakwa ada bom dalam bangunan berkenaan.

“Selepas bangunan dikosongkan, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Unit Anjing Pengesan (K9) melakukan pemeriksaan di semua kawasan bangunan lapan tingkat itu.

“Hasil pemeriksaan selama dua jam mendapati tiada sebarang objek meragukan ditemui. Selepas disahkan selamat, semua pesakit dibantu kakitangan dibenarkan masuk ke dalam bangunan,” katanya pada sidang media di lokasi, malam ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Norazam Khamis dan Pengarah Perubatan Hospital Pakar KPJ Seremban Profesor Dr Wan Azmi Che Hon.

Katanya, polis masih mengesan individu yang membuat panggilan palsu terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Berita berkaitan

KPJ Seremban terima ancaman bom

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 9:09pm
d