mutakhir

Rusuhan kuil: Polis tubuh pasukan khas

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menubuhkan pasukan khas bagi memburu suspek yang terbabit dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pasukan khas dari Bukit Aman itu akan membantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam mengesan suspek yang terbabit mencederakan dua penjawat awam dalam insiden rusuhan berkenaan.

“Pasukan khas juga kini sedang mengesan kumpulan yang merusuh di pusat beli-belah One City.

“Operasi sedang dilancarkan bagi memburu suspek-suspek yang terbabit dalam mencederakan anggota polis dan anggota bomba dalam kejadian berkenaan,” katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Mohamad Fuzi melancarkan buku pembuktian dan pendakwaan serta buku panduan siasatan jenayah membabitkan agen kimia, biologikal, radiologikal, nuklear dan letupan (CBRNE).

Hadir sama pada majlis pelancaran itu adalah Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, setakat ini tangkapan terhadap individu yang terbabit dalam insiden berkenaan masih kekal seramai 21 orang.

“Seramai 21 individu berkenaan kini masih direman bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan berkenaan.

“Masih terlalu awal lagi untuk polis katakan seorang daripada mereka adalah dalang utama,” katanya.

Menurutnya, keadaan pada hari ketiga semalam terkawal walaupun ada sekumpulan individu seramai 50 hingga 100 orang cuba mencetuskan kekecohan.

“Polis memerlukan maklumat dari orang ramai, mungkin ada diantara mereka ada membuat rakaman video atau sebagainya.

“Kita boleh proses (rakaman video) sekaligus dapat membantu pasukan khas mengesan suspek,” katanya.

NSTP melaporkan polis menahan 21 lelaki tempatan bagi membantu siasatan insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman yang berpunca daripada isu perpindahan tapak kuil berkenaan.

Dalam kejadian pada 26 November lalu , 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian rusuhan itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh berada di dalam keadaan kritikal.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 10:34am
d