mutakhir

Simpan atas lori

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menyita 331 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi bernilai RM34,565 selepas menyerbu dua lokasi di sekitar Tanjung Malim dan bandar raya ini, Sabtu lalu dan kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan pertama di Tanjung Malim jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu itu menemui tong LPG yang disimpan di atas lori.

Katanya, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang mengaku pemilik lori berkenaan sebelum menyita 115 tong LPG pelbagai jenama kegunaan domestik dengan berat keseluruhan 1,322 kilogram (kg) dan lori terbabit.

Menurutnya, nilai rampasan bagi serbuan itu dianggarkan berjumlah RM21,540 iaitu RM11,540 untuk LPG dan RM10,000 untuk lori, manakala lelaki berkenaan mengaku tiada lesen menjalankan kegiatan itu.

“Pada jam 6 pagi semalam (kelmarin), sepasukan anggota menyerbu sebuah premis di bandar raya ini dan merampas 216 tong LPG pelbagai jenama kegunaan domestik dengan berat keseluruhan 3,024 kg bernilai RM23,025.

“KPDNHEP turut menahan dua lelaki berusia 26 hingga 28 tahun yang mengaku pemilik stor dan memberitahu bekalan LPG itu diperoleh dari pembekal di sekitar Perak dan Pulau Pinang.

“Bagi kes di Tanjung Malim, kegiatan dipercayai aktif sejak dua hingga tiga bulan lalu manakala kes di Ipoh sejak tiga hingga lima bulan lalu. Semua operasi ini dijalankan atas maklumat awam,” katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 10:41am
d