mutakhir

'Kami tak hilang fokus'

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Nilai: Tiga peserta Program Dai Pendakwah Nusantara antara 2,712 graduan yang menerima ijazah sempena Majlis Konvokesyen Kali ke-16 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, semalam.

Majlis berkenaan menyaksikan 113 penerima Doktor Falsafah (PhD), 119 penerima Sarjana, Ijazah Sarjana Muda (2,379 orang) dan Diploma 101 penerima.

Juara Dai musim ketiga yang juga graduan Ijazah Sarjan Muda Akidah dan Pengajian Agama, Hamidah Ab Razak, 25, berkata, dia bersyukur apabila berjaya membahagikan masa antara pelajaran dan ketika menyertai program itu pada tahun 2015.

Anak bongsu daripada lapan beradik yang menjadi kolumnis tetap di Harian Metro sejak tiga tahun lalu berkata, sejak bergelar juara dia tidak pernah bercuti semester seperti rakan lain, kerana perlu menghadiri pelbagai program termasuk menjadi panel program Tanyalah Ustazah.

“Saya bersyukur kerana keluarga, pensyarah dan rakan banyak memberi dorongan sehingga membolehkan saya berjaya sehingga berada di tahap ini,” katanya ketika ditemui di Dewan Tuanku Canselor di sini, semalam.

Majlis perasmian konvokesyen itu disempurnakan Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hamidah yang baharu berkahwin pada Julai lalu berkata, dia berhasrat menyambung pengajian ke peringkat Sarjana selepas ini dan ketika ini menyiapkan buku bertajuk Aku Pendosa Juga Ingin Ke Syurga.

Dua lagi peserta Dai yang turut diraikan pada konvokesyen dengan tema Pembangunan Lestari hari ini adalah Naib Juara Dai musim ketiga, Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar dan Naib Juara Dai musim kelima, Nur Afiqah Mahmud.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Ahmad Fuad, 23, yang juga penerima Hadiah Ko-Kurikulum berkata, dia bersyukur kerana walaupun masa padat, tetapi dia masih dapat meneruskan pengajian dan tamat dalam tempoh yang ditetapkan.

“Saya berterima kasih kepada rakan yang banyak membantu dalam memastikan saya tidak ketinggalan pelajaran dalam setiap kelas,” katanya yang kini menjadi panel bagi program Tanyalah Ustaz.

Sementara itu rakannya, Nur Afiqah, 23, berkata, detik yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjadi pelajar di USIM dan pada masa sama peserta Dai adalah apabila hampir tidak dibenarkan menduduki peperiksaan kerana tidak ke kelas.

“Pensyarah meminta saya menangguhkan pengajian supaya boleh memberi fokus kepada program tetapi saya tetapi memilih kedua-duanya selepas berjaya menguruskan masa dengan lebih baik,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling.

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 10:48am
d