mutakhir

'Kenaikan ambil kira semua pihak'

Oleh Zanariah Abd Mutalib

SEBARANG keputusan kerajaan berhubung kadar kenaikan tambang bas ekspres akan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk operator bas dan rakyat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementerian akan bertemu dengan semua pihak berkepentingan dan membawa perkara berkenaan untuk dibincangkan dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

Katanya, ketika ini, isu berkenaan masih di peringkat cadangan selepas mendapat permintaan daripada syarikat bas berikutan kes operasi syarikat itu yang meningkat.

“Apa-apa kenaikan sudah tentu tidak dialu-alukan orang ramai tetapi kita kena buat keputusan yang mempertimbangkan permintaan kedua-dua pihak iaitu daripada operator dan orang ramai.

“Justeru, kita akan pastikan apa-apa keputusan yang kita buat tidak membebankan rakyat dan pada masa sama, kita harap operator bas dapat meningkatkan tahap keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kementerian mempertimbangkan kenaikan kadar tambang bas ekspres antara 10 sehingga 30 peratus bagi membantu pengusaha bas.

Katanya, semakan mendapati kenaikan kadar tambang terakhir adalah pada 2009 iaitu sebanyak 31 peratus.

Berita berkaitan

Tambang bas ekspres mungkin naik?

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 11:14am
d