mutakhir

Peniaga sayur tak mengaku beri rasuah

Oleh Amin Ridzuan Ishak

PENIAGA sayur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, kerana memberi rasuah kepada pegawai kerajaan supaya tidak mengambil tindakan terhadap kebunnya selepas menceroboh hutan simpan di Cameron Highlands pada tahun 2015.

Teong Tong Lai, 33, dari Taman Desa Corina, Cameron Highlands membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Tong Lai dituduh memberi rasuah wang tunai berjumlah RM10,000 kepada Penolong Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Sanifah Yusof sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap tanah kebunnya di Hutan Simpan Terla (A), Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands yang melakukan kesalahan mengikut Akta Perhutanan 1984.

Tertuduh didakwa memberi suapan itu di Coffee House Hotel Heritage, Cameron Highlands pada 9.30 malam, 13 Mei 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda berjumlah tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Sarah Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili Mohamad Hamizey Mat Taib dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Siti Sarah mencadangkan ikat jamin ditetapkan pada kadar RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Mohd Hamizi meminta mahkamah menetapkan ikat jamin minimum kerana tertuduh memberikan kerjasama dalam siasatan serta mempunyai tanggungan keluarga.

Mohd Ghazali menetapkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan 19 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 11:15am
d