mutakhir

Dihalau isteri, duit lesap

Oleh Hadzlihady Hassan

BUKAN saja ditipu sindiket pinjaman wang yang tidak wujud, malah lelaki turut dihalau keluar rumah oleh isterinya selepas mereka bergaduh dalam kejadian di Permatang Tok Labu, Penaga di Kepala Batas, kelmarin.

Lelaki berusia 50 tahun itu mengalami kerugian RM2,680 selepas terpedaya dengan sindiket yang kononnya menawarkan pinjaman wang kepadanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada lelaki bernama ‘Ikmal’ yang memperkenalkan diri sebagai ejen syarikat pinjaman wang peribadi.

“Ketika itu, mangsa bersetuju membuat pinjaman wang RM5,000 bagi melangsaikan hutangnya pada tahun 2016 untuk menanggung perbelanjaan arwah ibunya mengerjakan umrah.

“Dia kemudian diarahkan membayar wang proses kononnya untuk permohonan pinjaman terbabit,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa kemudian membuat pindahan wang berjumlah RM2,680 ke dalam dua akaun berbeza diberi suspek, namun sehingga kini dia belum menerima wang pinjaman berkenaan.

“Perkara itu turut diketahui isterinya dan menyebabkan mereka bergaduh sehingga mangsa dihalau keluar dari rumah,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

“Polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 12:27pm
d