mutakhir

Apalah nasib kamu, si comel...

Oleh Mohamed Farid

BAYI perempuan ditemui dalam keadaan berselimut dengan tuala dan kain pelikat di tangga Surau Parit Botak, Parit Raja, dekat Batu Pahat, 5.30 pagi hari ini, oleh jemaah surau yang mahu menunaikan Solat Subuh di surau berkenaan.

Ketua Whip Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Malik Faishal Ahmad berkata, beliau dimaklumkan jemaah surau mengenai penemuan bayi perempuan berkenaan pagi tadi.

“Jemaah surau yang baru sampai ke surau untuk menunaikan Solat Subuh terkejut apabila mendengar tangisan bayi dan menjumpai bayi berkenaan yang dibalut dengan tuala dan kain pelikat di tangga surau berkenaan.

“Jemaah kemudian menghubungi polis bagi tindakan lanjut. Bayi perempuan berkenaan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, dan disahkan sudah seminggu dilahirkan dengan berat 2.7 kilogram.

“Bayi berkenaan kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim, mengesahkan penemuan bayi perempuan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 1:45pm
d