mutakhir

Lupus dadah RM158,426 [METROTV]

Oleh Fitri Nizam

POLIS Terengganu melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM158,426 membabitkan 1,098 kertas siasatan bagi tempoh 16 tahun sejak 2002, di Lapang Sasar Lembah Bidong, Setiu, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata pelupusan siri kedua itu membabitkan dadah termasuk heroin, pil kuda, ganja, erimin 5, daun ketum, air ketum dan ubat batuk.

“Daripada jumlah itu, dadah paling banyak dilupuskan adalah pil kuda seberat 836.7 gram (g), ketum (521.47g) dan heroin (445.269g).

“Polis sudah melantik tiga panel untuk menilai, mengenal pasti dan mengesahkan barangan ini wajar dilupuskan. Pada masa sama ia dapat melapangkan stor bagi memudahkan kerja penyimpanan barang kes lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Pelupusan Barang Kes Narkotik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Allaudeen berkata, seramai 8,625 orang ditangkap di seluruh negeri membabitkan 7,019 kes berkaitan dadah sejak Januari lalu hingga 21 November tahun ini berbanding 9,546 tangkapan dengan 8,011 kes pada tahun sebelumnya.

Katanya, polis Terengganu melalui JSJN akan memperhebatkan usaha membanteras penyalahgunaan dadah secara menyeluruh dengan mengambil tindakan berterusan sama ada dalam kalangan penagih atau pembekal.

“Terengganu disenaraikan antara negeri tertinggi penyalahgunaan dadah dan bagi menangani ancaman itu matlamat kita tertumpu kepada pembekal dadah selain mengambil tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK),” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa Terengganu, Pahang, Kelantan, dan Perlis mendahului senarai penyalahgunaan dan penagih dadah paling ramai mengikut nisbah jumlah penduduk berdasarkan kajian dikeluarkan setakat September lalu.

Beliau berkata, Pahang merekodkan seramai 16,150 penagih dadah diikuti Kelantan (16,918 penagih), Terengganu (10,576 penagih) dan Perlis (2,123 penagih).

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 9:26pm
d