mutakhir

'Nizam Tong Gas' kantoi

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI dikenali sebagai ‘Nizam Tong Gas’ mampu meraih keuntungan antara RM80 hingga RM100 hasil jualan semula satu tong gas yang dicuri di beberapa kedai makan dan runcit di sekitar Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 42 tahun itu terbongkar selepas dicekup sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di gerai di Jalan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu pada 1.30 pagi 12 November lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman berkata, gerakan memburu suspek dijalankan susulan lima laporan polis diterima dalam tempoh tiga bulan bermula September lalu sebelum membawa kepada penahanan suspek.

Beliau berkata, suspek yang bergerak bersendirian memecah masuk kedai runcit dan kedai makan sebelum melarikan tong gas untuk dijual semula dengan harga antara RM80 hingga RM100 berbanding harga pasaran lebih RM150 bagi satu tong gas.

“Suspek yang mengusahakan kedai makan mengaku memecah masuk antara lima hingga enam premis dan mencuri tong gas sebelum ia dijual semula kepada pemilik kedai runcit.

“Kami berjaya merampas 19 tong gas, sebuah mesin canai yang digunakan untuk memotong mangga pintu dan rantai pada tong gas serta sebuah van yang digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan.

“Susulan penahan suspek, kami percaya dapat menyelesaikan lima kes kecurian tong gas yang dilaporkan sebelum ini,” katanya ketika sidang media di IPD Kuala Terengganu, semalam.

Suffian berkata, siasatan mendapati suspek yang positif dadah jenis methamphetamine turut mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah rumah.

Beliau berkata, suspek sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas empat pertuduhan iaitu satu pertuduhan mengikut Seksyen 457 KK manakala tiga lagi mengikut Seksyen 414 KK kerana menolong menyembunyikan harta curi pada Ahad lalu.

Katanya, bagaimanapun, lelaki terbabit mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM13,000.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 12:23am
d