mutakhir

Cedera diserang babi hutan

Oleh Nur Izzati Mohamad

“SAYA bersama anak bongsu pergi bersiar-siar di sekitar kawasan perumahan sebelum tiba-tiba kami diserang seekor babi hutan hingga terjatuh dari motosikal,” kata Asmawati Hassan, 35.

Asmawati antara tiga mangsa yang cedera dalam insiden serangan babi hutan yang tiba-tiba mengganas di kawasan perumahan Desa Cempedak, Tasek Gelugor, kelmarin.

Menurutnya, dia yang baru menghantar anak sulungnya berusia lima tahun untuk mengaji al-Quran di kawasan itu, pergi bersiar-siar dengan menunggang motosikal bersama bayinya berusia satu tahun lima bulan.

Bagaimanapun, katanya, tiba-tiba seekor babi hutan berlari ke arah dua beranak itu lalu merempuh motosikal ditunggangi mereka hingga menyebabkan kedua-duanya terjatuh.

“Kejadian menimpa kami dilihat seorang penduduk yang bergegas menghulurkan pertolongan, namun dia turut diserang babi hutan itu.

“Pada ketika itu, saya yang sedang sakit akibat terjatuh cuba untuk bangun dan membawa anak saya bagi menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam rumah jiran berdekatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Asmawati berkata, seluruh anggota badannya mengalami luka ringan akibat diserang babi hutan dan menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB).

“Mujur anak saya hanya ada calar dan luka kecil di bahagian muka tanpa ada kecederaan serius lain.

“Orang yang menyelamatkan saya pula dikatakan masih berada di hospital dan berkemungkinan akan menjalani pembedahan,” katanya.

Selain itu, Wan Ibrahim Wan Ismail, 60, yang turut menjadi mangsa serangan babi hutan, berkata dia terpaksa menggunakan sabit untuk mempertahankan diri.

“Semasa kejadian, saya baru habis berkebun dan pada masa sama diserang babi hutan yang datang menerkam saya dari arah belakang.

“Untuk menyelamatkan diri, saya terus melibas sabit dipegang ke arah kepala babi hutan berkenaan dan haiwan itu melarikan diri,” katanya.

Katanya, keadaan persekitaran rumahnya tercemar dengan banyak darah selepas diserang babi hutan itu.

“Darah mengalir di bahagian tangan dan kaki saya akibat serangan bertalu-talu yang menyebabkan ibu jari kiri saya terpaksa dipotong dan terpaksa menerima beberapa jahitan di tangan kanan.

“Kejadian ini begitu mengejutkan saya kerana ia pertama kali berlaku. Sebelum ini hanya nampak haiwan terbabit berkeliaran sahaja,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk, Suhaida Md Zain, 42, yang menyaksikan kejadian itu mahu pihak berkaitan mengambil tindakan segera memandangkan bimbang mengenai keselamatan penduduk dan kanak-kanak.

“Saya terdengar bunyi kuat di luar seperti ada benda terjatuh dan terkejut apabila melihat seorang wanita bersama anaknya diserang babi hutan sebelum datang seorang lelaki membantu mereka, malah lelaki itu turut cedera.

“Tidak cukup dengan itu, babi hutan itu menyerang lagi beberapa penduduk lain dan menyebabkan kami sekarang berada dalam keadaan ketakutan,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 12:52am
d