mutakhir

Keadaan kuil tenang

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KEADAAN tenang dan terkawal di sekitar kuil Sri Maha Mariamman dan Menara MCT yang menempatkan pejabat pemaju One City Development Sdn Bhd (One City) di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, setakat 9 pagi hari ini.

Tinjauan mendapati, jalan sesak kerana penduduk setempat keluar ke tempat kerja masing-masing sementara beberapa pegawai polis kelihatan tenang mengawal situasi di bawah jejambat berhampiran.

Keadaan juga seperti hari-hari biasa, malah tiada langsung individu yang mungkin terbabit dalam perhimpunan pada malam sebelumnya, berada di lokasi.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dilaporkan berkata, seramai 500 anggota polis ditugaskan untuk mengawal situasi di perkarangan kuil berkenaan.

Anggota dari pelbagai unit termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), cawangan khas dan anggota balai ditugaskan untuk memantau keadaan di kuil terbabit.

Insiden rusuhan yang bermula pada Isnin lalu itu menyebabkan 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.

Setakat ini seramai 30 individu sudah ditahan dipercayai terbabit dalam rusuhan di sekitar kuil berkenaan.

Polis kini sedang menyiasat dan mencari dalang sebenar yang mencetuskan kekecohan di kuil berkenaan.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 9:42am
d