mutakhir

Kenyang baham ayam

Oleh Erika George

BUNYI bising dari reban ayam di belakang rumah di Taman Sri Pelabuhan, Bintulu membawa kepada penemuan seekor ular sawa batik sepanjang 2.5 meter pagi semalam.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, reptilia berkenaan ditemui dalam keadaan berlingkar dipercayai kekenyangan selepas menelan seekor ayam peliharaan penduduk setempat.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bintulu ketika dihubungi berkata, empat anggotanya dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menangkap reptilia seberat 10 kilogram itu.

“Anggota APM menggunakan peralatan khas bagi menangkap ular berkenaan dan kita mengambil masa hampir sejam untuk menyelesaikan tugasan itu.

“Walaupun dalam keadaan ‘kekenyangan’ reptilia itu agak agresif ketika ditangkap,” katanya.

Katanya, reptilia itu kemudian dihantar ke Taman Tumbina Bintulu, Bintulu untuk dipelihara.

“Difahamkan, reptilia itu sering dilihat muncul di taman perumahan berkenaan, namun dibiarkan sebelum ini kerana tidak mendatangkan ancaman sehinggalah berlaku kejadian pagi tadi,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 11:17am
d