mutakhir

Henti 'curah minyak ke dalam api' - Mufti WP

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

RAKYAT Malaysia diingatkan supaya tidak ‘mencurahkan minyak ke api yang marak’ bagi mengelakkan kemudaratan susulan isu Kuil Sri Maha Mariamman.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kejadian rusuhan yang berlaku di kuil terbabit amat menyedihkan dan pihaknya amat bersimpati dengan mangsa yang cedera.

“Keharmonian antara kaum yang kita nikmati hasil daripada keutuhan pegangan kepada Rukun Negara wajar terus dipertahankan.

“Sahabat-sahabat kami kaum Cina, India, Melayu dan lain-lain selaku rakyat Malaysia sudah cukup matang dalam menilai insiden rusuhan kuil berkenaan yang langsung tidak membabitkan isu perkauman dan agama,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Zulkifli berkata, segala bentuk provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan perlu dielakkan.

“Semua pihak diminta bertenang dan tidak melakukan tindakan yang boleh membawa kepada konflik yang lebih meruncing.

“Isu ini perlu ditangani dengan serius tetapi amat berhati-hati. Rundingan perdamaian antara pihak yang berkaitan wajib dimulakan segera mungkin agar ketegangan yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor atas tindakan pantas bagi menangani insiden ini.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 12:54pm
d