mutakhir

Jangan menangguk di air keruh - PM [METROTV]

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, rusuhan di tapak kuil Sri Maha Mariamman pada Isnin lalu, wajar menjadi peringatan kepada rakyat akan tanggungjawab menjaga keselamatan, kestabilan serta ketenteraman negara.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta ahli politik atau pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) tidak mengambil sebarang tindakan atau mengeluar kenyataan provokatif yang boleh menimbulkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak.

“Kepada ahli politik serta pemimpin NGO dan yang berkepentingan, janganlah ada yang cuba menangguk di air keruh.

“Hak dan kebebasan bersuara bukan bermakna seseorang boleh mengatakan apa saja yang bersifat provokatif terhadap sensitiviti pihak lain,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam kenyataan khas bertajuk ‘Tindakan Kerajaan Dalam Memastikan Ketenteraman dan Keharmonian Kaum Dalam Negara Lanjutan Daripada Insiden di Tapak Kuil Sri Maha Mahariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya Selangor’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir turut meminta rakyat bertenang dan mengelak daripada terbabit dalam aktiviti yang boleh menjadi landasan untuk melakukan tindakan mengapi-apikan insiden itu dan menghasut.

Peringatan itu, katanya, bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya menyekat penyebaran berita tidak benar menyentuh insiden berkenaan yang dibimbangi boleh membawa kepada perpecahan dan keharmonian perhubungan antara kaum.

“Amat penting untuk kita semua sedar bahawa keselamatan dan kestabilan negara adalah tanggungjawab bersama. Sama-samalah kita berusaha untuk menjaga ketenteraman ini.

“Saya menggesa semua pihak agar tidak mengambil apa-apa tindakan atau mengeluar apa-apa kenyataan provokatif yang boleh menimbulkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak.

“Serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan saya minta semua pihak, sama ada di dalam Dewan ini dan orang ramai supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan atau berkongsi berita mengenai peristiwa itu kerana banyak berita palsu dan salah diedarkan.

“Kerajaan tidak berniat untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi jika apa yang disuarakan itu tidak benar dan mengancam ketenteraman awam, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan," katanya.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak memandang ringan insiden berkenaan yang menggugat ketenteraman kaum.

Lebih menyedihkan, katanya, ia menyebabkan kecederaan serius kepada anggota bomba penyelamat serta pasukan polis, kerosakan harta benda awam serta persendirian akibat tindakan perusuh yang tidak bertanggungjawab.

“Saya dimaklumkan pihak polis giat memburu mereka yang terbabit di dalam merusuh dan mencederakan anggota bomba serta anggota keselamatan dalam kejadian tempoh hari. Mereka akan berdepan dengan tindakan tegas undang-undang,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kini bukan masa menuding jari terhadap sesiapa kerana pihak polis diberi tanggungjawab untuk mengawal ketenteraman serta menjalankan siasatan.

“Kejadian di kawasan kuil Sri Maha Mariamman adalah perbuatan jenayah pihak tidak bertanggungjawab. Tidak timbul sama sekali isu perkauman, mahupun pertelingkahan agama.

“Dalam kejadian jenayah, sesiapa yang terbabit secara langsung atau tidak, atau menjadi dalang atau cuba mengambil kesempatan, akan berhadapan tindakan tegas berdasarkan undang-undang yang sedia ada.

“Mereka yang bersalah akan menghadapi tindakan undang-undang yang sewajarnya. Saya ingin tegaskan, bukan niat kerajaan untuk menghukum sesiapa secara buta tuli, tetapi demokrasi mempunyai batasnya dan kita semua harus faham akan batas demokrasi ini.

“Tidak ada sesiapa yang boleh bertindak sesuka hati melanggar undang-undang dan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat dan kekecohan dalam negara,” katanya.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 1:19pm
d