mutakhir

Dijel kerana ugut nak tetak jiran

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI dihukum penjara enam bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, selepas mengaku salah mengugut mahu menetak jirannya menggunakan parang kerana tidak berpuas hati dituduh mencuri barang.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Amir Abdullah, 34, dari Batu Rakit, Kuala Nerus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut mahu mencederakan mangsa, Sadiah Mat Saad, 42, dengan sebilah parang panjang di sebuah rumah di Jalan Merang, Pagar Besi Batu Rakit, Kuala Nerus, jam 5.35 pagi pada 22 November lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Chia Bih Huah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berada di rumahnya dikejutkan dengan kehadiran lelaki dikenali iaitu anak jirannya yang membawa sebilah parang dalam keadaan marah.

Tertuduh memaksa mangsa keluar dari rumah dan berjumpa dengannya, namun mangsa tidak berbuat demikian kerana takut.

Tindakan itu menyebabkan tertuduh semakin naik angin sebelum mengugut mahu mencederakan mangsa dengan senjata dibawanya sekiranya wanita terbabit membuat laporan polis terhadapnya.

Bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga, mangsa membuat laporan polis sebaik tertuduh beredar sebelum lelaki terbabit ditahan polis pada jam 6.30 petang hari sama.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 3:41pm
d