mutakhir

Akibat tersalah tembak...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

LELAKI maut selepas terkena tembakan rakannya pada tengkuk ketika mereka memburu babi hutan di kawasan Segari, dekat Manjung, hari ini.

Mangsa berusia 28 tahun meninggal dunia jam 12.15 tengah hari, ketika mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung (HSM).

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 11.10 pagi.

Menurutnya, siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa terkena tembakan rakannya ketika keluar menembak babi hutan di Segari.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke HSM oleh rakannya dengan menaiki keretanya sendiri untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan kritikal.

"Bagaimanapun pada jam 12.15 tengah hari tadi, pihak hospital memaklumkan mangsa tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian tengkuk.

"Ketika kejadian berlaku hanya mangsa dan rakannya sahaja di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, susulan itu polis menahan lelaki berusia 49 tahun yang juga rakan mangsa untuk siasatan lanjut.

Katanya, turut dirampas selaras senapang patah dan beberapa butir peluru dan semakan mendapati lesen senjata api lelaki itu masih sah.

"Siasatan awal mendapati tiada sebarang perselisihan faham antara keduanya dan kejadian berlaku adalah tanpa disengajakan," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 5:19pm
d