mutakhir

[UPDATE] Calon sudah dikenal pasti

Oleh Ahmad Suhael Adnan

KERAJAAN sudah mengenal pasti calon bagi mengisi kekosongan jawatan Pengerusi Lembaga Bank Rakyat susulan penyingkiran bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, Isnin lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, pengumumannya akan dibuat dalam masa terdekat.

“Calon itu bukan ahli politik, sebaliknya golongan profesional yang pernah berkecimpung dalam sektor pengurusan perbankan di peringkat antarabangsa.

“Walaupun kuasa pelantikan pada kementerian, kita ambil pendekatan mengutamakan profesionalisme dengan menunggu pendapat Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai bank yang menyelia di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).

“Ini bagi memastikan calon dipilih menepati visi baharu dan kaedah kita menguruskan Bank Rakyat, dalam usaha melebihkan penggunaan dana kepada pembangunan usahawan.

“Saya akan umumkan dalam masa terdekat, tahun ini juga. Kalau boleh saya nak umum semalam, tapi sebab kita ikut prosedur BNM, kita tak mahu bertindak terburu-buru.

“Kita kena berhati-hati supaya tidak boleh disalahgunakan wang yang ada daripada segi menghulur pinjaman atau bantuan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Isnin lalu, Mohd Redzuan dalam satu kenyataan mengumumkan Shukry disingkirkan daripada jawatan itu berkuat kuasa serta-merta, berikutan pembabitannya dalam pindaan maklumat Laporan Asal Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia susulan pendedahan Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mengenai pembabitan Shukry yang mengarahkan pengguguran dalam laporan audit itu.

Antaranya membabitkan kehadiran ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Ditanya jika ada tindakan atau keputusan Shukry yang memberi implikasi kepada Bank Rakyat dan perlu diubah atau dibatalkan, Mohd Redzuan berkata, ada tindakan tertentu yang sudah dikenal pasti.

“Ada, tapi kita tunggu. Kita tak boleh menghukum terlalu awal atas segala bentuk keputusan, kena buat siasatan terperinci dahulu,” katanya.

Mengenai kemungkinan ada Lembaga Pengarah lain akan disingkir, katanya, pengurusan agensi yang tidak memuaskan akan diganti dengan individu berkelulusan, profesional dan berkemampuan mengurus lebih baik.

Berita berkaitan

Shukry disingkir dari Bank Rakyat

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 8:40pm
d