mutakhir

Pembantu am parah

Oleh Shahrinnahar Latib

PEMBANTU am parah selepas pacuan empat roda dipandu terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain termasuk bas ekspres di Kilometer (KM) 116 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Taman Setia Jasa, Temerloh, hari ini.

Dalam kejadian 6.20 pagi itu, Abdul Aziz Abu Bakar, 25, dari Kampung Batu Papan, Bera parah di kepala, kaki dan tangan, dia kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS).

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, kejadian berlaku apabila Toyota Hilux dipandu Mohd Aziz yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah lori.

“Pacuan empat roda itu terus melanggar pula dengan sebuah bas ekspres yang dipandu Mohd Shahefullah Kamal Bashah, 40, yang ketika itu berada di belakang lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan Abdul Aziz tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, Temerloh.

“Bagaimanapun, pemandu lori dan pemandu serta dua penumpang bas ekspres berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux berkenaan tidak mempunyai lesen memandu dan ketika kejadian keadaan jalan kering serta cuaca baik.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak polis akan menjalankan ujian air kencing ke atas semua pemandu yang terbabit. Kejadian ini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 11:56am
d