mutakhir

Sekeluarga hidup dalam ketakutan

Oleh Shahrinnahar Latib

PEKEBUN di Cameron Highlands hidup dalam ketakutan sejak beberapa bulan lalu kerana sering diugut individu yang memberi pinjaman kepadanya dengan mengenakan bayaran bunga tinggi.

Antara ugutan diterima pekebun kecil berusia 49 tahun menerusi WhatsApps dan Facebook itu adalah diugut bunuh, rumah serta kedainya akan disimbah cat merah selain diburukkan di media sosial sehingga rakan perniagaan hilang kepercayaan terhadapnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, episod hitam mangsa bermula pada 20 Julai lalu apabila dia menerima mesej menerusi WhatsApp daripada suspek yang memberitahunya tempoh pembayaran pinjamannya tamat hari itu.

Katanya, sebulan sebelum itu pengadu turut menerima mesej daripada suspek mengatakan wang berjumlah RM18,000 sudah dimasukkan ke akaunnya, namun semakan mendapati tiada sebarang transaksi itu.

“Suspek mengatakan wang itu dimasukkan ke akaun syarikat pengadu secara berperingkat tanpa pengetahuan pengadu yang tidak pasti bagaimana suspek dapat mencari nombor akaun syarikatnya kerana dia tidak pernah memberikan kepada mana-mana individu.

“Pemeriksaan pada bank mendapati wang berjumlah RM14,000 ada dimasukkan ke akaun (syarikat) pengadu, pada 1 September pengadu memasukkan RM2,000 ke dalam akaun Public Bank penama Tan Siew Fang dan sekali lagi pada 4 Oktober lalu,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa sehingga hari ini menerima banyak ugutan melalui WhatsApp dan Facebook yang memburukkannya sehingga isteri serta anak-anaknya mendapat tekanan serta ketakutan.

“Suspek juga ada mengugut untuk menyimbah cat merah di kedai dan rumah pengadu selain diugut bunuh, rakan-rakan perniagaan pengadu dalam negara, Bangladesh serta Thailand juga hilang kepercayaan terhadapnya selepas melihat (tuduhan dan ugutan terhadap mangsa) Facebook.

“Pengadu ada meminta untuk berjumpa dengan suspek, namun tiada sebarang tindakan daripada pihak berkenaan (suspek), sehubungan itu dia membuat laporan polis kerana takut dengan ugutan serta ingin membersihkan namanya selain mahu polis mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands semalam dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 12:02pm
d