mutakhir

Cikgu Ros Bagan Serai buat hal

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menerima dua laporan yang dibuat pihak sekolah dan seorang guru di Bagan Serai susulan satu status berunsur perkauman dimuat naik di Facebook dan tular sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam status itu, pemilik akaun dengan nama ‘Cikgu Ros Bagan Serai’ telah memuatnaik gambarnya dan status berbaur perkauman disusuli gambar Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Serai (SMKBS).

Menurutnya, susulan itu, pihaknya menjalankan siasatan dan mendapati akaun itu adalah palsu dan sengaja diwujudkan pihak tertentu bagi tujuan yang tidak dapat dipastikan.

“Siasatan pihak polis mendapati akaun Cikgu Ros dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Serai adalah palsu dan tidak wujud.

“Gambar guru wanita yang digunakan juga tidak wujud di sekolah itu sebaliknya gambar yang digunakan adalah gambar guru dari Sekolah Kebangsaan Matang Gerdu, namun nama guru itu juga jauh berbeza dengan nama yang digunakan,” katanya di Bagan Serai, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, pihaknya menerima dua laporan polis yang dibuat mangsa dan pihak SMKBS semalam.

“Polis percaya kenyataan itu dibuat pihak tidak bertanggungjawab bertujuan untuk melaga-lagakan kaum.

“Sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat, namun pihak polis masih menunggu hasil siasatan lanjut dari pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan kejadian ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 1:21pm
d