mutakhir

Penerbangan ihsan selamatkan ibu mengandung

Oleh Ramli Ibrahim

HELIKOPTER Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa melakukan penerbangan ihsan kali kedua bagi menyelamat wanita Orang Asli hendak bersalin di Pos Gob untuk dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba,Mohd Farhan Marzuki berkata, penerbangan ihsan kali pertama petang semalam gagal mendarat di Pos Gob kerana cuaca buruk dan hujan.

Sebaliknya kata beliau, penerbangan ihsan itu diteruskan semula hari ini apabila cuaca bertambah baik dan berjaya mendarat di Pos Gob 10.50 pagi untuk mengambil Remeng Andok, 40.

Beliau berkata, petang semalam helikopter berkenaan berlepas dari Pangkalan Subang 3 petang dan tiba di Pos Gob sejam kemudian dan cuba mendarat beberapa kali, namun gagal.

“Hari ini kita teruskan semula penerbangan ihsan itu berlepas pada 9.45 pagi dari Pangkalan Subang menggunakan helikopter Agusta AW139 dan tiba di Pos Gob 10.50 pagi.

“Sebaik mengambil wanita itu, pesawat berkenaan berjaya mendarat di Perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang 11.20 pagi sebelum Remeng itu dikejarkan ke HGM,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu sudah dua kali dihadapi unit udara JBPM untuk tugasan penerbangan ihsan mengambil pesakit Orang Asli dan berdepan cuaca buruk musim tengkujuh.

Mohd Farhan berkata, berdasarkan maklumat diterima, wanita Orang Asli yang sarat mengandung itu sudah beberapa kali cubaan keluarganya untuk dihantar ke HGM menggunakan jalan darat.

Namun, kata beliau, gagal berbuat demikian berikutan keadaan jalan rosak teruk dan terpaksa mendapat bantuan penerbangan ihsan.

Beliau berkata, penerbangan itu diketuai Juruterbang Kapten Sidek Abas dibantu Penolong Juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zukhairee Zabidi.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 2:15pm
d