mutakhir

Kes tapak kuil : Tiada injunksi sementara

Oleh Rafidah Mat Ruzki

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam, hari ini, mengesahkan permohonan injunksi sementara ex-parte oleh 50 penganut Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya ditolak dalam prosiding semalam.

Peguam mewakili pemaju dan pemilik tanah tapak kuil itu, One city Development Sdn Bhd (One City), Claudia Cheah, dalam balasan e-mel kepada pemberita hari ini, memaklumkan, perkara itu disahkan selepas pihak-pihak mendapatkan penjelasan daripada Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Wong Kian Kheong, pagi ini.

Katanya, hakim berkenaan menjelas dan mengesahkan Mahkamah Tinggi semalam tidak mengeluarkan sebarang injunksi sementara.

“Hakim turut menjelaskan bahawa berdasarkan kepada rekod mahkamah, One City Development Sdn Bhd memaklumkan mahkamah semalam bahawa ia membuat akujanji untuk tidak melaksanakan Penghakiman Persetujuan sementara menunggu pendengaran permohonan injunksi sementara pada 11 Januari 2019.

“Hakim juga mengesahkan jika tindakan plaintif dibatalkan sebelum 11 Januari 2019 dengan adanya permohonan daripada One City, akujanji diberi oleh One City akan berakhir.

“One City akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan permohonan plaintif itu minggu depan,” katanya.

Keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi itu semalam membabitkan permohonan injunksi sementara ex-parte yang difailkan pada 21 November lalu oleh penganut, M Ramachandran dan 49 yang lain.

Antara lain, ia bagi mendapatkan perintah melarang One City, ejennya atau pengkhidmatnya atau pekerjanya daripada menghampiri atau mendekati kuil itu untuk tujuan perobohan atau sebarang tujuan lain sehingga mahkamah membuat keputusan muktamad bagi seluruh tindakan ini.

Ia juga memohon mahkamah memberikan perintah penangguhan terhadap perlaksanaan writ pemilikan bertarikh 14 November 2017 sehingga pelupusan permohonan itu, satu deklarasi bahawa penghakiman persetujuan bertarikh 11 Mac 2014 sebagai terbatal dan tidak sah.

Kuil itu mendapat perhatian selepas berlaku pencerobohan diikuti rusuhan pada awal pagi Isnin lalu oleh sekumpulan individu dan menyaksikan sebanyak 23 kereta dibakar.

Satu lagi rusuhan berlaku keesokan harinya termasuk menyebabkan seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipukul.

Ketika ini, anggota itu, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, masih kritikal tetapi berada dalam keadaan stabil.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 3:37pm
d