mutakhir

Janganlah bakar api perkauman - ADUN DAP

Oleh Shaarani Ismail

SEMUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang berbahas dan berucap pada sesi perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu menghentikan segala perkataan atau pengucapan yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Perkara itu ditegaskan ADUN Jalong, Loh Sze Yee berikutan terdapat beberapa pengucapan yang dibuat beberapa ADUN pada sesi perbahasan semalam yang dilihat agak keterlaluan.

“Saya dengan rendah hati memohon supaya semua pihak tidak mengipas api perkauman terutama dalam kalangan pemimpin.

“Pengalaman perit yang berlaku di sebuah kuil di Subang baru-baru ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa amat mudah untuk menaikkan sentimen perkauman oleh mana-mana pihak tetapi untuk mengawal dan meredakan situasi itu mengambil masa yang panjang serta payah.

“Luka di hati dan kepercayaan sesama kita memerlukan masa yang jauh lebih panjang untuk diubati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Perak, di Ipoh hari ini.

Hadir sama, Naib Pengerusi DAP negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari.

Loh berkata, apa yang berlaku pada sesi perbahasan oleh pembahas terakhir yang juga ADUN Trong, Jamilah Zakaria malam tadi yang mencetuskan sedikit ketegangan dalam kalangan ADUN yang menghadiri persidangan diharap dapat dielakkan.

Katanya, ketegangan tercetus selepas Jamilah yang juga ADUN pembangkang memberikan ucapan yang memberikan bayangan bahawa kerajaan melaksanakan polisi yang akan hanya memperkayakan kaum tertentu selain turut menyambung selepas ditegur dengan menaikkan lagi kemarahan kerana menyebut perihal kaum tertentu yang dilihat sengaja menindas dan melanggar undang-undang.

Beliau berkata, meskipun diberi nasihat dan meneruskan ucapan kepada perkara lain selepas itu, ia dilihat sebagai satu tindakan yang tidak membantu perpaduan dan hanya mengapi-apikan sikap perkauman.

“Perak adalah negeri yang mempunyai masyarakat majmuk berbilang bangsa dan pembangkang sepatutnya mengutarakan isu yang lebih konstruktif dan membina serta bukannya mengipas isu perkauman,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 5:02pm
d