mutakhir

Nasib baik jiran sempat bantu [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

“SAYA panik sebaik mengetahui dua anak jiran terperangkap di tingkat atas. Saya hanya mampu menjerit dan berharap penduduk datang menyelamatkan mereka,” kata Yusnita Abdul Halim, 45.

Dia menceritakan detik cemas apabila kediaman jirannya, Norhanizah Ibrahim, 45, terbakar di Jalan Indah 2, Taman Desa Indah, Nilai, malam tadi.

Dalam kejadian 11.20 malam, Norhanizah melecur di muka serta belakang badan manakala dua anak lelakinya, Muhamad Irfan, 19, dan Muhamad Idlan, 16, sesak nafas akibat terhidu asap tebal.

Yusnita berkata, dalam kejadian itu dia bersama empat anak berusia tujuh hingga 15 tahun berada di rumah sebelum terdengar salakan anjing disusuli kaca pecah.

“Kami bergegas keluar dan mendapati ruang tamu di rumah jiran dipenuhi asap tebal serta percikan api.

“Seorang lagi anak Norhanizah iaitu Muhamad Iman, 12, yang berada di tingkat bawah bersama adiknya, Muhamad Izzudin berusia enam tahun menjerit meminta tolong menyebabkan kami menjadi panik,” katanya.

Yusnita berkata, dia diberitahu Norhanizah terkena percikan api manakala dua lagi anaknya terperangkap dalam bilik di tingkat atas di rumah teres dua tingkat terbabit.

“Saya hanya mampu menjerit meminta bantuan penduduk. Tidak lama kemudian, lebih ramai jiran datang membantu mengeluarkan Norhanizah dan dua anak yang berada tingkat bawah.

“Penduduk menghubungi pihak bomba sebelum memanjat tingkat atas kediaman menggunakan tangga bagi menyelamat dua lagi anak Norhanizah.

“Sebaik dikeluarkan, kedua-dua mereka didapati mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal yang menyelubungi kediaman,” katanya ditemui hari ini.

Yusnita berkata, ketika kejadian suami Norhanizah tiada di rumah kerana bekerja di sebuah pelantar minyak di Bintulu, Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis, berkata pihaknya yang menerima panggilan pada 11.28 malam mengerahkan lapan anggota dan dua jentera ke lokasi.

“Api dapat dikawal dalam tempoh 10 minit dan kebakaran dipadam sepenuhnya 30 minit kemudian.

“Kelima-lima mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, ruang tamu kediaman terbabit musnah 50 peratus dan pihaknya masih menyiasat lanjut punca kejadian itu.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 5:20pm
d