mutakhir

Nelayan risau beting pasir di muara

Oleh Rosli Ilham

NELAYAN mengeluh dengan kesukaran mereka untuk keluar masuk menangkap ikan berikutan mendapan pasir yang semakin serius di muara Kuala Kerteh.

Seramai 500 nelayan yang menggunakan laluan terbabit bimbang selepas kejadian sebuah bot karam ketika memasuki muara itu, Ahad lalu.

Nelayan, Muhamad Omar, 64, berkata muara terbabit kini sangat merbahaya kerana beting pasir sudah kelihatan di permukaan air.

Katanya, setiap kali keluar masuk muara itu, dia terpaksa menolak botnya untuk melepasi pasir yang timbul itu pada jarak kira-kira 200 meter.

“Nasib baik bot saya kecil, rakan yang mempunyai bot besar terpaksa melabuhkan bot di luar muara dan mengangkut hasil tangkapan dengan bot kecil,” katanya.

Tekong bot, Mohd Hafizi Abdul Rahman, 46, berkata dia bersama tiga awak-awak bernasib baik selepas botnya itu terbalik dipukul ombak dalam kejadian Ahad lalu

Menurutnya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan masuk ke kuala itu dan bot dikemudinya itu tersekat akibat muara yang cetek sebelum dipukul ombak.

“Nasib baik kami selamat biarpun bahagian dalam bot pecah manakala enjin dimasuki air yang menyebabkan saya kerugian hampir RM7, 000,” katanya.

Seorang penduduk, Mohamed Salleh, 76, berkata kerajaan menghabiskan peruntukan sebanyak RM7 juta selepas dua kali menjalankan kerja menggali muara terbabit.

Katanya, kali terakhir kerajaan mendalamkan muara itu termasuk membina benteng sepanjang 200 meter pada 2014 dan penduduk serta nelayan melihat kerja itu seolah-olah membazir dan sia-sia.

“Kami mengatakan ia membazir kerana setiap kali tiba musim tengkujuh, ombak besar akan menghantar semula pasir masuk ke dalam kuala, sekali gus menutup semula kuala tebabit.

“Kerja mendalamkan muara di situ tidak akan selesai selagi kerajaan tidak membina benteng di kiri dan kanan muara itu termasuk membina benteng pemecah ombak di tengah laut,” katanya.

Menurutnya, sekiranya cadangan itu dilakukan kerajaan, dia percaya masalah dihadapi nelayan berjaya diselesaikan.

“Benteng pemecah ombak di Kuala Kemaman dan Marang perlu dijadikan contoh oleh kerajaan dan saya harap ia segera dibuat,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 5:57pm
d