mutakhir

Bilangan pelawat Adib perlu dipantau

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

BILANGAN pelawat yang mengunjungi Muhammad Adib Mohd Kassim perlu dipantau berikutan keadaannya kini mudah terdedah kepada jangkitan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, soal keselamatan anggota bomba itu adalah perkara tidak boleh dikompromi.

“Kita tidak boleh ada terlalu ramai pelawat kerana semua ini pembawa kuman-kuman. Dia (Adib) tidak boleh lawan (jangkitan) pada masa ini.

“Adib mesti dijaga dengan baik sebab dia di dalam keadaan sangat terdedah. Saya pun biasa jadi doktor dulu, memang kena jaga.

“Sebab itu saya rasa penting kita jaga semua ini. Doakanlah, sekurangnya dengan doa kita, dia beransur pulih,” katanya pada sidang media di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk melawat anggota bomba itu yang cedera dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, Selasa lalu.

Mengulas berhubung keadaan Adib, Wan Azizah berkata, keadaannya kini beransur stabil, namun masih dalam pemerhatian doktor.

“Paru-paru dia masih lagi cedera manakala jantung pula menunjukkan pemulihan yang baik, tetapi masih memerlukan mesin sokongan hayat.

“Buah pinggangnya memang menunjukkan kebimbangan dan kehilangan banyak darah,” katanya.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 7:31pm
d